Wednesday 22 May 2013

Cerpen Cinta #1 : Diari Hati Seorang Isteri.

Elis tersenyum sendiri tatkala membaca SMS dari Aiman, suaminya.
Hatinya berbunga-bunga.
Dia bingkas bangun dan bersiap. Seolah mengikut arahan dari SMS yang baru dibaca sebentar tadi.
Dia mengenakan blaus, skirt labuh dan selendang dengan gaya 'messy'.
Sedikit gincu dicalit pada bibir.
Meskipun solekannya sederhana, namun keayuan wajahnya tetap terserlah.

15 minit menunggu, akhirnya kereta Proton Persona milik Aiman terpacul didepan rumahnya.

"Hai sayang...", sapa Elis sebaik sahaja dirinya masuk ke dalam kereta Aiman.
Aiman hanya menghadiahkan senyuman.
"Kita nak pergi mana ni?", tanya Elis apabila menyedari sejak tadi Aiman membisu.
"Ikut je, okey?", jawab Aiman.

Kereta Aiman berhenti di hadapan sebuah restoran.
"Elis turun dulu, Abang pergi cari parking", arah Aiman apabila melihat keadaan di kawasan itu yang agak banyak kenderaan dan tiada tempat parkir. Elis hanya menurut.
"Tunggu dalam restoran tu", tambah Aiman.
Elis mengangguk.

20 minit... 30 minit.... Aiman masih tidak muncul lagi. Dia cuba menghubungi suaminya itu namun gagal.
Panggilannya hanya dijawab oleh operator talian.
Satu jam kemudian, baru kelibat Aiman kelihatan memasuki restoran itu.
Dan... ada seorang wanita berjalan bersamanya.
Elis mengerutkan keningnya tanda pelik.

Sebaik tiba di meja makan, Aiman duduk disebelah Elis.
Wanita itu pula duduk di hadapan Elis.
Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
Elis menyambut huluran salam itu. Tapi wajahnya sedikit masam.

"Elis, ini Rania. Dia kawan perempuan abang".
Elis memandang wajahnya Aiman. Seolah meminta penjelasan.
"Kawan yang akan abang jadikan isteri kedua abang", jelas Aiman seolah mengerti.
Elis lantas memalingkan wajahnya. Dia menunduk ke bawah.
Mukanya terasa panas. Mungkin menahan marah, sedih dan air mata.

'Apa semua ni, abang?', soalan itu bermain di benak hatinya. Namun tidak pula diajukan kepada Aiman.
"Elis.. abang tahu Elis kecewa. Tapi, abang harap Elis faham. Abang inginkan zuriat. Abang nakkan seorang anak yang akan  menyambung keturunan abang...", ucap Aiman dengan jujur.
Kata-kata Aiman itu ibarat pisau yang menikam dada.
Sakit abang...sakit sangat...

"Akak, Rania minta maaf jika akak anggap Rania adalah perampas suami akak.
Tapi sumpah kak. Rania benar-benar cintakan abang Aiman.
Rania rasa tak ada salahnya jika kami berkahwin. Supaya hubungan kami sah disisi Allah.
Dan demi mengelakkan dari melakukan maksiat, kak", kini giliran Rania pula ingin memberi penjelasan.

Dada Elis berombak.
Dalam kekecewaan, dia mengumpul kekuatan untuk berbicara.
"Abang, abang ingin berkahwin dengan Rania kerana zuriat atau cinta?".
"Kedua-duanya".
"Sejak bila, bang?".
Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

Elis memandang sayu wajah suaminya.
"Abang... jika ini takdir buat Elis, Elis redha. Kahwinlah abang. Abang ada hak.
Dan Elis tiada hak untuk menghalang...",ucap Elis bersama air mata yang laju menuruni pipi gebunya.
Rania bungkam tanpa kata. Hatinya memuji ketabahan Elis.

"Elis, walaupun abang akan berkahwin dengan Rania, tapi abang nak Elis tahu yang abang sangat menyayangi dan mencintai Elis. Dan kasih ini tak pernah berubah walau sedikit. Terima kasih Elis. Terima kasih atas kepercayaan Elis buat abang. Abang sangat menghargai pengorbanan Elis",balas Aiman.
Kali ini semakin mencurah air mata Elis.

"Rania, akak harap Rania dapat terima segala kelebihan dan kekurangan abang.
Sukar untuk akak buat keputusan secepat ini. Tapi akak percaya, ada hikmah disebaliknya".
Elis mengambil tangan suaminya, lalu dia mengucup tangan itu. Lama.
Aiman juga dapat merasa ada air mata yang menitik pada tangannya.
"Abang, izinkan Elis pergi buat seketika untuk mencari ketenangan. Untuk mengumpul kembali kekuatan. Elis harap sekembalinya Elis nanti, abang dan Rania sudah sah menjadi suami isteri. Selamat pengantin baru, buat abang dan Rania. Assalamu'alaikum".
Kemudian, dia bangun dan pergi dari situ.

"Elis ! Elis ! Tunggu !", panggil Aiman. Pengunjung didalam restoran masing-masing melihat situasi itu dengan muka yang tertanya-tanya.
Elis hilang dalam kesesakan ribuan manusia di bandar Kuala Lumpur itu.
Langkah Aiman terhenti.
'Ya, aku harus izinkan dia pergi. Aku perlu faham kesakitan yang dia rasakan kini. Elis, abang izinkan Elis pergi. Abang cintakan Elis'.


*                                                   *                                                     *                                                  *


Elis mencium al-Quran yang baru sahaja dibacanya.
Kemudian dia meletakkan di atas rak.
Dia membaca doa. Air matanya mulai menitis.
Setelah mengaminkan doanya, dia membuka telekung yang dipakainya.

Dia duduk dibirai katil sambil tangannya mencapai telefon bimbit.
'Assalamu'alaikum. Isteri abang tengah buat apa? Sayang sihat ke? Abang rindu Elis'.
Elis memejamkan matanya selepas membaca SMS dari suaminya itu.
Kemudian dia membuka satu lagi SMS.
'Elis, kenapa tak jawab panggilan abang? Kenapa Elis tak balas mesej abang? Elis, abang akan bernikah malam ni. Maafkan abang, sayang.'
Air mata Elis sudah tidak dapat dibendung. Dia melepaskan tangisan semahu-mahunya.

Sudah dua minggu Elis bercuti di Langkawi.
Dia membawa diri sejauh ini kerana dia ingin mencari ketenangan.
Selama seminggu dia tinggal di hotel.
Kemudian, mujurlah dia bertemu dengan seorang rakan lamanya secara tidak sengaja.
Alia. Dia adalah rakan baik Elis semasa menuntut di Maktab Rendah Sains Mara dahulu.
Namun, hubungan mereka terputus disebabkan masa dan jarak.
Alia mengajaknya tinggal bersama keluarganya. Mungkin dah dinamakan rezeki.

Alia menguak pintu bilik.
"Elis.. jom makan. Mak aku dah siap masak tu", ajak Alia sambil menghampiri Elis.
"Ya Allah, kenapa ni Elis?", tanya Alia terkejut apabila melihat Elis yang sedang menangis.
"Lia...dia dah nak kahwin malam ni. Aku rasa sedih sangat Lia. Ya Allah....".

Alia menggeleng kepala.
"Elis, kan kau sendiri kata yang kau dah redha. Tapi kenapa kau masih sedih lagi ni?
Dia cuma berkahwin lagi satu je. Kau bukannya kehilangan dia lagi. Besar ganjaran buat kau, Elis. Kau dah tentu dapat payung emas di syurga kelak. Sudah lah Elis, kau kena kuat.
Demi anak dalam perut kau tu. Okey?", ujar Alia meredakan gelora hati Elis.
Elis hanya mengangguk. Lantas dia memeluk sahabatnya.
"Terima kasih, Lia. Terima kasih kerana banyak beri semangat pada aku, bantu aku saat aku rasa sedih begini. Kau lah sahabat aku dunia akhirat, Lia", ucapnya dalam sendu.


*                                   *                                      *                                        *                                     *

Hati Aiman tiba-tiba di runtun kesedihan sebaik sahaja dia melafazkan akad nikahnya dengan Rania.
Sarah Rania. Seorang wanita yang dia pilih sebagai suri hidupnya yang kedua.
Niatnya berkahwin dengan Rania bukanlah atas desakan nafsu.
Namun, dia benar-benar inginkan zuriat.
Dia malu berhadapan dengan kenalan yang acapkali mengajukan soalan mengenai hal itu.
Dan tanpa disedari dia mulai jatuh cinta pada Rania.

Masakan tidak, sudah hampir 7 tahun dia berkahwin dengan Elis.
Keluarganya juga selalu bertanya.
Hinggakan adakalanya dia menjadi emosi.
Meskipun ada yang hanya berniat untuk bergurau.

Nur Elisa Suhaila.
Seorang wanita yang sangat cantik, moden dan kontemporari.
Seorang usahawati yang berjaya.
Dia juga seorang isteri yang taat.
Namun, entah mengapa tiba-tiba kedudukannya di hati Aiman bergoyah.
Dia di katakan mandul oleh sesetengah pihak yang suka mencampuri hal orang.

Bersabarlah, Elis. Engkau seorang wanita yang tabah !

"Elis.. abang rindu Elis", ucap Aiman. Meskipun perlahan nada suaranya, namun jelas kedengaran oleh cuping telinga Rania.
Rasa cemburu tiba-tiba menguasai diri.
"Abang cakap apa?".
Aiman menoleh. Dia terkejut Rania berada di dalam bilik itu.
Entah bila dia masuk.

"Err, maafkan abang, sayang. Abang cuma teringatkan Elis".
"Teringatkan Elis? Abang, hari ni adalah hari bahagia kita. Tak sampai sehari kita bernikah, abang dah ingatkan perempuan lain? Abang tak tahu ke betapa sedihnya hati Nia?".
"Perempuan lain? Apa maksud Rania? Elis isteri abang. Kenapa Nia kata dia perempuan lain? Dia madu Nia kan?".
"Ya, memang dia isteri abang dan madu Nia. Tapi sekurang-kurangnya abang jagalah sikit perasaan Nia. Nia baru sahaja jadi seorang isteri, tapi Nia tak dapat rasa kasih dari seorang suami".

Aiman diam. Dia malas mahu menjawab.
Biarlah perbalahan itu berhenti disitu.

*                                            *                                               *                                               *

Seminggu kemudian....

"Lia, terima kasih banyak-banyak atas jasa kau selama ni. Aku tak tahu macam mana nak balas. Nanti kalau kau pergi KL, kau contact aku ye? Terima kasih jugak makcik, pakcik sekeluarga. Sebab sudi tumpangkan saya sepanjang dekat sini. Semoga Allah membalas jasa kalian. Panjang umur kita jumpa lagi ye", ucap Elis lalu memeluk Alia dan Mak Timah.

Mak Timah menyeka air matanya. "Elis jangan cakap macam tu. Kami dah anggap Elis macam anak kami jugak. Dulu masa Elis dan Alia sekolah dulu, arwah mama dan papa Elis banyak tolong Alia. Masa tu makcik susah, nak pergi jenguk Alia pun jarang sekali. Banyak yang Alia cerita pasal keluarga Elis. Sekarang, giliran kami pula tolong Elis. Balik elok-elok ye, nak. Nanti datang sini lagi", balas Mak Timah. Pak Samad, ayah Alia, mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata Mak Timah.

Sebelum Elis menuju masuk ke dalam airport, sempat lagi dia berpaling menatap wajah keluarga itu.
Mereka melambai-lambai kepadanya.
Entah kenapa, dia rasa amat sayu sekali.

*                                           *                                                   *                                                 *

"Hello, abang. Elis dah sampai airport ni. Abang boleh tolong ambil Elis? Lagipun lama Elis tak jumpa abang", kata Elis sebaik sahaja panggilannya dijawab oleh Aiman.
"Kak, Rania ni. Maaflah, abang keluar. Dia lupa bawa handphone. Akak naik teksi lah ye", balas Rania.
Elis terkedu seketika. "Tak apalah kalau macam tu. Nanti abang balik suruh dia call akak ye?", pinta Elis.
"Baiklah".

Sehingga malam Elis menunggu suaminya menelefonnya. Namun, tiada juga panggilan.
Begitu juga hari-hari seterusnya.

Kandungan Elis hampir masuk bulan kedua.
Kini dia sedang berperang dengan masalah awal mengandung.
Setiap 5 minit rasa mual akan terasa.
Dalam sehari tidak terkira berapa kali dia muntah.

Dia selalu mendambakan kehadiran suaminya yang akan menemaninya, mengusap perutnya.
Namun, itu hanyalah angan-angan.
Dia bukannya ingin merahsiakan kandungan itu, tetapi tidak tahu bila masa yang sesuai untuk dia beritahu.
Setiap kali dia telefon suaminya itu, pasti Rania yang menjawab panggilan itu.

Kalau boleh dia ingin memberitahu suaminya itu sendiri.
Malangnya, tidak kesampaian.
Apatah lagi kini Rania juga sudah disahkan mengandung.
Dia dapat lihat sinar kebahagiaan pada wajah Aiman.

Dan oleh sebab itu, Rania selalu sahaja menggunakan alasan itu untuk meminta perhatian yang lebih dari Aiman. Aiman juga kini nampaknya sangat mengambil berat akan Rania.
Dia hanya datang menjenguk Elis pada waktu siang sahaja.
Katanya risau untuk tinggalkan Rania keseorangan pada waktu malam sekiranya dia bermalam di rumah Elis.
Aiman juga meminta Elis memahami keadaan tersebut.

Kini Elis menyerahkan kepercayaan penuh kepada pembantunya untuk memantau perniagaan butiknya.
Dia tidak larat untuk berbuat apa-apa pada waktu ini.

"Abang, tolong bawa Elis ke klinik boleh? Elis rasa tak sihat".
"Sorry Elis. Hari ni abang bawa Rania ke hospital untuk buat check up.
Lepas tu abang nak ke Cameron Highlands, Rania teringin nak makan strawberi dekat sana. Nak petik sendiri katanya. Abang risau juga kalau tak penuhi permintaan orang tengah mengidam ni. Elis pergi sendiri ye?", jawapan Aiman menghampakan Elis.

Sebelum Elis keluar untuk ke klinik, dia menghabiskan ayat-ayat terakhirnya di dalam diari kesayangannya itu. Setelah selesai, dia menutup diari itu lalu mengucupnya.
Dia amat menyayangi diari itu kerana itulah diari yang sentiasa menjadi temannya untuk meluah perasaan.

Setelah itu, dia segera keluar.
Sebelum membuka pintu kereta, kepalanya berasa berpinar-pinar.
"Astaghfirullahal'azim", dia beristighfar memohon ampun kepada Allah kerana setiap kesakitan itu adalah penghapus dosa.
Apabila dia rasa keadaannya kembali stabil, dia terus masuk ke dalam kereta menuju ke klinik.

*                                    *                                          *                                        *                                


Sreeeetttttttttt !!!!!!!! Bammm !!!!

Kepala Elis terhantuk di cermin hadapan kereta.
Darah mulai keluar.
Elis tak berdaya lagi.
Orang ramai mulai mengerumuni kereta Elis.

"Bang, ada accident lah kat depan tu....", ujar Rania.
Aiman memanjangkan tengkuknya untuk melihat.
"Yalah. Tapi ramai sangat orang. Tak nampak kereta tu jadi macam mana", balas Aiman.
Kereta Aiman melepasi tempat kemalangan itu dengan perlahan.

'Ya Allah, tolonglah jangan ambil nyawaku lagi sebelum aku sempat mengucup tangan suamiku dan memohon ampun kepadanya ya Allah..', hati Elis merintih bersama kesakitan yang ditanggungnya.
Kaki Elis sudah dipenuhi darah. Orang ramai cuba membawa keluar Elis dari kereta.

Keadaan Elis sangat lemah ketika itu.
Ada seorang hamba Allah yang baik hati menelefon waris Elis untuk memberitahu tentang kejadian itu setelah dia menelefon ambulans.

Telefon bimbit Aiman berbunyi.
"Hello, Elis", sapa Aiman sebaik sahaja menjawab panggilan dari nombor Elis itu.
"Hello, saya nak beritahu bahawa tuan punya telefon bimbit ini mengalami kemalangan di Jalan Bahagia".
Bulat mata Aiman apabila mendengar kata-kata itu.
'Ya Allah ! Isteri aku !'.

Aiman segera membuat pusingan u-turn.
"Abang nak pergi mana ni? Kenapa patah balik?".
"Elis yang accident tadi ! ".

Sebaik sampai ditempat kejadian, Aiman meluru ke arah Elis.
Dia memangku kepala Elis.
"Elis... maafkan abang. Elis, bertahan sayang. Ambulans !! Mana ambulans ?!", jerit Aiman sekuat hati.
"A..abang... Elis tak mampu lagi. Elis....min..ta ampun...bang. Am..punkan dosa-dosa Elis pa..da.. abang...", ucap Elis tersekat-sekat. Dalam lemah dia mengambil tangan suaminya. Lalu mengucupnya.
Air mata Aiman gugur.
Tanpa segan Aiman meraung semahunya.
Rania disisi juga mulai menangis.

"Elis, jangan tinggal abang !!", jerit Aiman lagi.
"Abang......", mata Elis kian tertutup.
Kini dia lebih tenang. Setelah dapat memohon ampun dari suaminya dan mengucup tangan itu buat kali terakhir. Terima kasih Allah.
"Kak, mengucap kak...".
"Elis.. Elis.. mengucap sayang...".
Elis mengikut satu persatu kalimah syahadah yang dilafazkan oleh Aiman.
Setelah itu, jasadnya kaku di atas pangkuan Aiman.

Nur Elisa Suhaila... pergilah dengan tenang sayang.....

*                                   *                                       *                                         *                                    *

Setelah seminggu pemergian Elis, baru hari ini Aiman pulang ke rumah dia dan Elis.
Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah itu, pelbagai kenangan bersama Elis bermain di matanya.
Dia menuju ke bilik tidur mereka.
Saat dia melihat potret gambar kahwin mereka di dinding bilik itu, air matanya mulai menitis.

Elis... abang rindu Elis...

Aiman duduk di birai katil. Dia menyeka air matanya.
Kemudian dia baring.
Ketika itu dia rasakan seperti ada benda keras di bawah badannya.
Dia mengambil 'benda keras' tersebut.
Ia adalah sebuah diari.

Aiman seperti berminat untuk membuka.
Dia bangun dari pembaringan dan duduk di birai katil kembali.
Dia mulai menyelak diari tersebut.


1 Mei 2012

Pagi tadi aku rasa tak sedap badan. Sebenarnya dah dua tiga hari. Jadi aku pergi ke klinik. Sangat mengejutkan apabila doktor memberitahu bahawa aku mengandung ! Ya Allah ! Aku bersyukur kepada Mu. Penantian aku dan abang selama 7 tahun akhirnya memberi hasil. Tak sabar rasanya nak beritahu hal ini pada abang. Abang masih outstation. Esok abang akan balik. Mesti abang terkejut dengar berita ni !

2 Mei 2012

Ya Allah, luluh jantungku apabila abang beritahu tentang hal itu. Sungguh aku tidak kuat. Ya Allah, aku amat mencintai abang. Dahulu abang pernah berjanji dia tak akan menduakan aku. Tapi sekarang? Abang sendiri yang bawa kekasihnya berjumpa aku. Baru sahaja aku ingin khabarkan berita gembira tentang kandungan ku, tapi ia terbantut oleh sebab hal ini. Ya Allah, sememangnya aku redha mereka berkahwin. Aku sendiri yang sudah memberi izin. Namun, hatiku ini adalah hati wanita. Hati yang mudah tersentuh. Hati yang amat lemah apabila diuji. Allah... berikan aku kekuatan. Demi anak dalam kandungan ini....

3 Mei 2012

Sayang... cepat keluar ye. Nanti boleh jadi teman ibu. Ibu keseorangan sayang. Jadi anak yang soleh. Doakan ibu bila ibu sudah tiada nanti.

15 Mei 2012

Aku baru sahaja sampai di rumah. Sedihnya abang tak jemput aku di KLIA. Aku dah pesan pada Rania supaya menyuruh abang telefon aku, tapi hingga ke saat ini, tiada panggilan dari abang. Sabarlah wahai hati.

20 Mei 2012

Entah kenapa aku rasa tak sedap hati. Ya Allah, apakah petanda semua ni? Sudah tiga malam berturut-turut aku mimpikan arwah papa dan mama. Mereka mengajak aku bersama mereka. Ya Allah, aku takut... Ya Allah, sekiranya ajalku sudah hampir, ingin sekali aku sampaikan kepada suami ku........................


Abang,
Seperti yang abang tahu, dan Elis selalu beritahu,
Elis sayang dan cintakan abang.
Elis tak boleh hidup tanpa abang.
Elis tak ada sesiapa dalam dunia ni melainkan hanya Allah dan abang.

Abang,
Elis tahu sekarang abang sedang gembira menanti kelahiran anak abang dan Rania.
Elis juga tumpang gembira.
Kalau boleh, Elis nak sangat beritahu yang abang akan terima dua cahaya mata sekaligus.
Tapi, setiap kali Elis ingin beritahu abang, pasti tiada kesempatan buat Elis.
Tambah pula abang sibuk dengan kerja dan menjaga Rania yang sedang mabuk mengandung.
Tak mengapa abang. Elis faham. Rania masih muda. Pasti dia lebih perlukan abang.

Abang,
Elis tak pernah marah kerana abang berkahwin lain.
Walaupun abang dah kurang masa dengan Elis,
Elis tak pernah merungut.
Sebab Elis pegang kata-kata abang yang kasih sayang abang pada Elis takkan berkurang.

Abang,
walaupun pada awalnya Elis sedih,
tapi setelah Elis muhasabah, kini Elis kuat.
Elis tak halang abang berkahwin dulu kerana abang cintakan Rania.

Masa tu Elis tanya pada abang,
abang ingin berkahwin dengan Rania kerana zuriat atau cinta?
Abang jawab 'kedua-duanya'.
Jadi, sebab itu Elis lepaskan abang kepada Rania kerana abang cintakan dia.
Elis tak mahu abang kecewa.
Walaupun hakikatnya, Elis sendiri kecewa dan terluka.

Abang,
Elis minta ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Sepanjang perkahwinan kita, banyak silap dan khilaf Elis pada abang.
Ampunkan Elis, abang.

Demi Allah,
cinta dan kasih ini hanya buat abang.
Kerana abanglah cinta pertama dan terakhir Elis.
Dan Elis ingin beritahu bahwa Elis amat merindui abang.
Salam buat Abang.

Ya Allah, sesungguhnya cintaku buat abang tidaklah sehebat cinta-Mu.
Kerana aku tahu, cinta-Mu itu melebihi segala-galanya.
Oleh sebab itu, aku lebih memilih cinta-Mu,
dari merebut kasih abang......

Kini baru dia teringat semasa doktor memberitahu tentang Elis keguguran semasa kemalangan.
Ketika itu fikirannya berserabut dan tidak mengambil pusing kata-kata doktor itu.
Pada waktu itu dia cuma ingin tahu keadaan Elis sahaja.
Setelah membaca diari ini, dia mulai teringat kata-kata doktor tersebut.

Aiman menutup wajahnya dengan diari milik Elis itu.
Ya Allah.... adakah aku kejam terhadap isteriku?
Adakah aku sudah membunuh anak dan isteriku?
Ampunkan aku ya Allah...

Elis, abang sudah lama ampunkan Elis.
Terima kasih kerana hadir dalam hidup abang.
Meskipun Elis sudah tiada,
namun namamu sentiasa berada dihati abang.
Semoga kau tenang disana sayang.
Al-Fatihah....



HASIL KARYA : Tasha Yaakub (www.tashayaakub.blogspot.com)

9 comments:

Anonymous said...

Sedih :'( Buat lah byk-byk cite lagi akak !

Unknown said...

Cerita yg menarik. Tapi kalau pada awal tu cerita sikit hubungan Elis dan suami dia sebelum tu mst lagi trasa. Anyway, best ! Gud luck utk awk :)

Unknown said...

satu lagi, sy suka sbb ada nama sy dlm cite ni. hehehe

Unknown said...

Menitik air mata...

Intan_Ladygaga said...

Suke sgt cite ni. buatla novel

Nissa Jalaluddin said...

talented! =)

cahaya kerinduan said...

Sedih nyer citer ni...apa2pun mmg best@:..

Unknown said...

Gud Luck...best citer ni...

Unknown said...

Bodohnya punya jantan....perempuan tu pon phl baik sgt..dua ii bodoh